Tidak Kisah Segala Cemuhan Masyarakat

Assalamualaikum >_<


pelihara anjing

Azmi dan Halija tidak kisah pandangan serong masyarakat terhadap usaha mereka melindungi haiwan-haiwan itu.
Tidak Kisah Segala Cemuhan Masyarakat (4 GAMBAR) | ALOR SETAR – Atas dasar belas kasihan, sepasang suami isteri di sini sanggup membela kira-kira 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing terbiar di kabin milik mereka.
Bekas kontraktor, Md Azmi Ismail, 55, dan isterinya Halija Idris, 65, membawa balik haiwan yang sakit, cacat, tua dan mengalami pelbagai masalah lain untuk diberi penjagaan sebaik mungkin.
“Dulu, kami hanya memelihara kira-kira 60 kucing sahaja. Namun, ketika itu kami tidak membela anjing berikutan tinggal di kawasan perumahan, sebaliknya hanya memberi makanan dan merawat anjing terbiar.
“Namun, atas dasar prihatin dan sayang pada haiwan berkenaan, hati saya terdetik untuk menyediakan tempat berteduh buat mereka. Jadi saya berpindah ke kawasan lapang di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini. Lantas, membawa pulang dan merawat anjing terbiar ini,” katanya.
Menurutnya, dia telah menganggap semua haiwan terbabit bagaikan anak-anaknya sendiri, malah tidak sanggup menjual anjing dan kucing terbiar peliharaan mereka ini walaupun ditawarkan dengan pelbagai harga oleh pihak tertentu.
Malah, mereka menumpang teduh di tanah berkenaan yang terletak bersebelahan dengan sungai bagi memudahkan mereka menyamak selepas memegang anjing.
pelihara anjing 01
Azmi menunjukkan kucingnya yang sakit yang sering dibawa bersamanya.
Tak lepas daripada cemuhan
Tidak semua perbuatan kita akan dipandang tinggi, pasangan suami isteri ini juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cemuhan dan pandangan serong masyarakat.
Menurutnya, ada sesetengah pihak mendakwa mereka tidak tahu hukum halal dan haram sebagai seorang yang beragama Islam.
“Kami dikatakan pengotor selain isteri saya juga pernah diludah.
“Dia menangis kerana terlalu sedih diperlakukan sebegitu selain mengenangkan tanggapan negatif masyarakat,” katanya.
Azmi berkata, demi niatnya yang hanya mahukan haiwan-haiwan berkenaan dilindungi, dia sanggup menerima hinaan dan cemuhan masyarakat.
“Saya tak hirau apa pandangan mereka. Jika tindakan saya menyelamatkan nyawa anjing terbiar ini berdosa. Bagaimana pula jika ia dibandingkan dengan perbuatan anak muda yang terjebak dengan lembah maksiat yang setiap hari gejala itu dilihat makin membimbangkan,” katanya.
Katanya, dia mengharapkan segelintir masyarakat dapat mengubah persepsi mereka, sebaliknya memahami keadaan sebenar.
pelihara anjing 02
Perbelanjaan untuk menguruskan haiwanhaiwan ini mencecah RM20,000 sebulan.
Berhutang nyawa pada anjing
Sementara itu, Halija berkata, dia terhutang nyawa sebanyak dua kali kepada anjing peliharaannya di mana nyawanya pernah diselamatkan oleh haiwan itu daripada mengalami kecelakaan dalam dua kejadian berbeza pada tahun 2011 lalu.
Dalam kejadian pertama, dia hampir dipatuk ular senduk namun diselamatkan anjing bernama Poppy, kemudia dia diselamatkan pula seekor anjing digelar Adik ketika dia hampir lemas akibat tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.
“Saya tak pandai berenang. Masa itu, semua ahli keluarga juga tidak ada. Jadi apabila diselamatkan anjing peliharaan, saya rasa seolah-olah macam mati hidup semula kerana ketika itu saya rasakan tiada harapan lagi untuk hidup,” katanya.
Latih cucu ambil alih rumah perlindungan
Azmi berkata, dia memerlukan kira-kira 50 kilogram (kg) beras untuk anjing terbiar peliharaannya, manakala 10 kg ikan dan makanan kucing untuk haiwan peliharaan lain pada setiap hari supaya semuanya berada dalam keadaan sihat.
“Bayangkan perbelanjaan menguruskan pusat perlindungan ini melebihi RM20,000 sebulan.
pelihara anjing 03
Halija menunjukkan anak anjing yang sakit yang sering dibawa mereka ke mana sahaja.
“Namun, rezeki haiwan peliharaan kami tidak pernah putus-putus kerana setiap kali memerlukan, pastinya ada bantuan dihulurkan pihak tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.
Azmi menambah, dia juga telah melatih cucunya yang dijaga sejak kecil, Affendi Shamsul, 28, untuk membantu menjaga haiwan peliharaannya itu.
Katanya, dia juga tidak memaksa Affendi mengurus rumah perlindungan itu.
Ia berikutan perkara yang menyentuh tanggungjawab seperti itu lahirnya dari hati seseorang.
Mereka sememangnya tidak pernah mengajar anak dan cucu untuk membenci anjing kerana ia juga adalah makhluk ALLAH SWT.
Dalam pada itu, Pak Mie melahirkan hasratnya untuk memiliki tanah lapang yang digazet menjadi tanah rumah perlindungan haiwan supaya mereka dapat meneruskan usaha menyelamatkan haiwan terbiar ini daripada terseksa.-sinar harian


♥ Terima Kasih Sebab Sudi Baca Entri Ini ♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...